Followers

Wednesday, December 16, 2009

Saat dia menghembuskan Nafas Terakhir

Innalillahi Wainnailaihirajiuun...
Memang benar janji Allah, jika ajal telah sampai tidak akan terlewat atau tercepat hatta sesaat pun, walau seberat manapun hati kita untuk mempercayainya ataupun untuk menerimanya...tapi ketentuan Allah...kita sebagai insan yang lemah, hanya redha sahaja yang mampu mengubati hati yang sendu!!

Nenda tersayang, Hjh Maimunah binti Husin menghembuskan nafas terakhir pada 13 Disember 2009 tanpa ada tanda-tanda akan pergi meninggalkan kami selamanya di usia 76 tahun. Masih berbual mesra dan bergurau senda dengan mak saudaraku (mak itam) sebelah abah dan duduk berjiran dengan nenek sehingga pukul 12.30 tghari. Semalam (12 Dis) masih lagi memenuhi undangan perkahwinan anak jiran sekampung. Malah masih sempat lagi membuat kuih bingka kegemarannya bersama anaknya yang ke 9 daripada 10 anaknya. Lantas resepi turun temurun itu dipanjangkan kepada anaknya itu. Katanya kuih ni senang aje nak buat. Nanti kalau nak tambah-tambah pendapatan keluarga, kuih ni boleh dibuat jual. Ramai orang suka. Tambahnya. Makcikku itu surirumah tangga mengambil upah menjahit baju dan membuat kuih apabila tibanya bulan Ramadhan dan Syawal. Memang itulah karektor Nek. Tiada apa nak dihairankan.

Saat Nek nak `pergi', dia minta Mak Usu ( tinggal bersamanya) untuk menemankan dia ke tandas untuk membuang air besar. Nek memang kakinya tidak berapa kuat untuk berdiri kalau sudah lama duduk. Selepas mensucikan diri, dia panggil Mak Usu dan katanya badannya sangat lemah, letih. Mak rasa tak larat la, Mah, Allah! Allah!...badan Mak letih, Allah!!!. Tiba-tiba badannya terus lembik sahaja. Mak Usu panggil Pak Usu dan beberapa jiran untuk memapah Nek keluar dan terus dibaringkan ke tilam yang diletakkan di ruang tamu. Nafasnya turun naik turun naik....Mak aku pun datang selepas dapat berita Nek tak sedarkan diri. Mak!Mak, mak aku memanggil Nek...tiada jawapan...nafas Nek makin lama makin senyap macam orang dah tidur. Mak panggil ambulan. Nek masih seperti itu. Mak mula risau...mak lafazkan Laillahaillallah! Laillahaillallah!...masih tiada jawapan. Ambulan datang, tengok Nek dan cakap Nek dah tak ada. Jam menunjukkan pukul 2.00. Mak terus terjelepok, mak itam, mak usu dan pak usu memandang antara satu sama lain dalam perasaan tidak percaya. Manakan nak percaya...baru sebentar tadi Mak Itam berbual dan bersenda gurau seperti biasa dengan Nek. Takkanlah!!

Pandang wajah Nek, masih seperti orang yang sedang tidur! Ya Allah! mudahnya Nek pergi mengadap Yang Maha Esa. Sempat lagi menyucikan dirinya terlebih dahulu...terkabul doa Nek sebelum ini. Nek pernah cerita kat aku kalau boleh dia tak mahu menyusahkan anak dan cucunya sebab dia dah puas menjaga orang sakit semasa dia muda dahulu. Dia pernah menjaga mak saudaranya yang menderita sakit kanser buah dada. Malah pernah juga menjaga neneknya yang sakit tua...lama terlantar....! Jadi dia selalu berdoa, janganlah dia sakit melarat macam tu sehingga menyusahkan anak cucu. Ternyata doanya termakbul.

Nek, kami sayang Nek. Semoga Nek ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Nek sangat beruntung, dimandikan oleh anak-anak dan cucu-cucunya. Kebetulan ibuku bilal kampung, melaksanakan 2 tanggungjawab sekaligus...! Diuruskan oleh anak-anak dan cucu lelaki, disembahyangkan oleh hampir semua anak dan cucu-cucunya dengan diimamkan oleh imam kampung. Tahlil pun diterajui oleh menantunya dan semua anak-anak dan menantunya. Bila dikira-kira saat berkumpul itu, lebih daripada 4o orang ahli keluarga nenek yang boleh membaca Yaasin. Semua bersepakat nak khatamkan Nek Quran secara berkelompok selama 3 malam. Alhamdulillah tercapai!

Ali cakap untung Nek ada keluarga ramai dan boleh diharap dalam bab-bab agama. Masa kita nanti macamana pulak!! Anak-anak kita macamana nanti....!

AlFatihah untuk Arwahyarhamah Hjh Maimunah binti Hj Husin.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails