Followers

Tuesday, March 6, 2012

Rawdhah di hatiku (4) : Permulaan Sebuah Perjalanan

Akhirnya tarikh itu tiba juga. 22 Oktober 2011. Pagi itu selepas mandi sunat ihram, kami solat subuh dan menunaikan solat sunat musafir. Aku terus berpakaian ihram tanpa niat ihram terlebih dahulu. Ali tidak berihram lagi dan telahpun dinasihatkan agar menukar ihram semasa di Kelana Jaya. Persiapan kami pagi itu tanpa sebarang suara. Cuma di dapur kedengaran suara-suara saudara mara yang membantu menguruskan sarapan pagi dan bekalan makanan untuk di bawa ke Kelana Jaya. Kami hanya menjamah sedikit sahaja sarapan yang disediakan. Entah kenapa selera tidak terbuka sedangkan mak menyediakan sarapan kegemaran kami, sambal udang dan ketupat  serta roti berlauk. Mungkin rasa yang bercampur baur dalam hati kami ini menyebabkan kami tidak dapat menikmati. Ya Allah! peliharalah anak-anak kami, ibu bapa kami, saudara mara kami dan jiran-jiran kami sepanjang ketiadaan kami. Doa kami tidak putus-putus.

Kemudian, keheningan pagi itu dirahmati dengan suara merdu dan sayu bunyi azan yang dilontarkan oleh jiran kami Jumari Kosrin.  Suara azan itu begitu memilukan hati kami apabila mengiringi keberangkatan kami ke Kelana Jaya.

Jiran-jiran yang hadir menghulurkan tangan bersalaman dan berpelukan. Kami saling bertangisan. Adakah ini merupakan pertemuan dan pelukan yang terakhir? Ya Allah hanya kamu yang maha mengetahui. Hanya doa yang mengiringi semoga kami selamat pergi dan selamat kembali dan mendapat haji yang mabrur. " Ila, jangan dirisaukan anak-anak di sini, beribadahlah dengan hati yang tenang. Inshaallah kami akan menjaga mereka." pesan jiran terdekat kami. Terima kasih Allah, kau kurniakan kami jiran yang baik yang telahpun kami anggap sebagai saudara kami juga.



Friday, March 2, 2012

Raudhah di hatiku (3) : Jiwa Seorang Ibu

Hanya beberapa hari sahaja lagi yang tinggal untuk urusan persiapan barang dan persiapan hati. Persiapan barang bagi aku yang baru pertama kali pergi ke tanah suci, pada permulaannya agak canggung, tak tahu apa yang nak dibeli, apa yang nak dibawa. Berapa banyak pakaian yang hendak di bawa. Walaupun Tabung Haji ada memberi senarai seperti di bawah, tapi mengikut pengalaman saudara-mara dan kawan-kawan yang telah pergi mereka membawa lebih daripada yang ditetapkan. Ketika dalam kesibukan menguruskan barang-barang keperluan kami, tiba-tiba di hati terselit perasaan sedih yang amat sangat. Bila teringat hal itu, air mata terus mengalir bagaikan tidak tertahan-tahan.

Kerisauan hatiku untuk meninggalkan anak kami seramai 4 orang itu begitu mencengkam jiwa. Kami tidak pernah berenggang. Paling lama pun mungkin 4 atau 5 hari. Itupun hanya dalam Malaysia sahaja. Tapi kali ini selama 43 hari yang jaraknya beribu-ribu kilometriko kilometer jauhnya.



Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan si kecil Mir Aqiel Azhad yang baru berusia 4 tahun setengah. Anak kami yang sulung 14 tahun, kedua 11 tahun dan ketiga 9 tahun. Aduhai hati..bagai nak tercabut rasanya mengenangkan kerisauan dan kesedihan perpisahan ini nanti. Setiap hari aku berdoa supaya ditabahkan hati, dikuatkan semangat untuk menghadapi perpisahan sementara ini. Setiap kali aku memandang wajah mereka, air mata terus mengalir dan aku segera memalingkan wajah agar anak-anakku tidak tahu kesedihan di hatiku ini.

Tuesday, December 20, 2011

Rawdhah di Hatiku (2): Persiapan Rohani


Meneliti bait-bait talbiah semasa menghayati buku Panduan Haji yang diberi percuma oleh Lembaga Tabung Haji Melaka, terasa begitu sayu dihujung tangkai jiwa. Adakalanya ia bertukar bahagia, juga hiba pada saat yang sama. Denyutan perasan yang bercampur baur ini melebihi daripada kadar biasa apabila memikirkan masa yang semakin hampir.

Tetapi kami percaya bahawa Allah itu Maha Besar, Kun Fa Ya Kun. Jika Dia kata "Jadi, maka jadilah.."
Dalam keadaan kami berusaha merawat kekecewaan (selepas mendapat berita permohonan ditolak), Dia bagi kami kegembiraan dan proses selepas itu menjadi lebih mudah. Penyediaan paspot dan visa, pemeriksaan kesihatan, pemberitahuan tarikh penerbangan segalanya terasa seperti telah diuruskan dan kami hanya melaluinya sahaja. Alhamdulillah, syukur di atas rahmatMU ya Allah!

Cuma kerisauanku adalah bagaimana dengan persiapan rohani? Memandangkan aku hanya sempat sekali sahaja mengikuti kursus haji, cara yang paling mudah ialah dengan mencari buku-buku tentang haji dan membaca buku-buku travelog haji. Aku juga membaca blog-blog kembara haji dan permasalah-permasalahan haji selain dari menghayati buku-buku yang dibekalkan oleh Tabung Haji.


Dikesempatan yang terbatas itu kami cuba mengumpul seberapa banyak maklumat yang boleh. Memang benar Ali pernah ke tanah suci. Tetapi atas tuntutan kerja, dia hanya dapat melakukan perkara yang wajib sahaja. Lebih-lebih lagi Ali bekerja di KL jadi perbincangan hanya terbatas ketika dia tidak bekerja dihujung minggu sahaja. Maka, rakan-rakan, jiran tetangga dan handai-taulan yang pernah menjejakkan kaki ke tanah suci menjadi tempat rujukan kedua. Pelbagai maklumat, nasihat yang baik kami kumpulkan sebagai pedoman. Sedikit demi sedikit gambaran menunaikan fardu haji terbayang di hadapan mata.

Pesanan rakan, "ila sebelum ke sana nanti, perbanyakkan solat sunat taubat. Lebih baik bangun sepertiga malam lakukan solat sunat tahajjud dan mohon kepadaNya semoga segalanya dipermudahkan". Ya Allah, aku hanya ada beberapa hari sahaja lagi untuk berangkat, sempatkah lagi untukku bertaubat. Bukankah taubat itu perlu dilakukan sepanjang masa dan bukan hanya untuk menunaikan fardu haji sahaja. Ya Allah, jahilnya aku. Culasnya aku  Ya Allah. Kau berikan petunjuk Ya Allah. Ampunilah aku Ya Allah. Kau permudahkan segalanya.

Lantas disepertiga malam untuk yang hanya tinggal beberapa hari sahaja sebelum berangkat itu aku mengadap yang Maha Esa memohon keampunannya. Malam yang aku serahkan jiwa dan ragaku mengadapMu, memohon keampunanMu ya Allah. Malam yang mana air mata terasa murah harganya. Rasa malu, ketakutan, debaran, kenaifan dan ketawadukkan menjadikan sepertiga malam itu merupakan satu momen suci yang sangat indah di antara hamba dan penciptanya. Momen yang tidak pernah dirasakan sebelum ini. Ya Allah, aku insan jahil Ya Allah. Ampunilah aku.

Monday, December 19, 2011

Rawdhah di Hatiku (1): Terpilih Diantara Berjuta

Salam rindu buat semua. Memang laama sangat kita tak bersua di laman tanpa wajah dan suara ini. Hanya tulisan dan rasa yang dilahirkan penjadi pengikat diantara kita. Moga teman-teman juga sihat dan berbahagia sebagaimana hati kami yang juga berbunga-bunga...;)

Untuk makluman semua, kehilangan kami bukan disengajakan. Tetapi tahun ini merupakan tahun yang amat bermakna bagi ila dan ali kerana kami telah mendapat jemputan yang dinanti-nanti oleh kebanyakan daripada kita. Ye! kami terpilih diantara berjuta yang memohon untuk menjadi tetamuNYA diseluruh dunia.  Kami telah menjadi Dhuyufur-Rahman pada tahun 2011. Syukur Alhamdulillah!

Cuitan Tangkai Hati Menggamit Rindu Tiada Penghujung

Sebenarnya kami tidak sangka menjadi tetamuNYA pada tahun ini. Ketika menjejakkan kaki ke bumi anbia' itu, saya masih merasakan segalanya seperti mimpi. Menuruni kapal terbang, imigresen, menaiki bas semuanya seperti diawang-awangan. Tiada kata yang keluar daripada mulut hanya ucapan syukur terucap dilubuk hati yang paling dalam. Ya Allah betulkah aku sudah semakin hampir dengan baitullahMu?

Kami telah mendaftar untuk menunaikan Rukun Islam ke 5 ini hanya pada tahun 2007. Kalau diikutkan, kami dijadualkan hanya selepas tahun 2015. Tetapi kami masih ingat ketika itu pegawai Tabung Haji (TH) ada memberitahu sekiranya simpanan telah mencukupi, kami boleh membuat rayuan untuk pergi lebih awal daripada tahun yang ditetapkan. Niat hati saya ketika itu semoga kami dapat menunaikan fardhu haji sebelum atau selewat-lewatnya berumur 45 tahun. Pada perkiraan kami ketika ini anak-anak pun dah besar dan mungkin simpanan telah dapat dicukupkan.

Tanpa disangka Ali dapat jemputan awal ke sana pada tahun 2009. Walaupun atas urusan kerja, saya tumpang gembira kerana Ali dijemput dahulu. Ketika ini hati tak rasa ralat sebab mengenangkan Aqiel ketika itu baru berusia 2 tahun.

Walaubagaimanapun, penghujung tahun 2010, hati tiba-tiba dicuit untuk menunaikan haji. Lantas saban hari rasa itu menjadi semakin kuat, rindu dan resah yang tidak menentu. Bila hati telah nekad, akal lantas pantas merancang mengatur urusan anak-anak. Sempat lagi berfikir jika tahun 2011 ditakdirkan dapat pergi, anak-anak masing-masing tidak terlibat dengan peperiksaan besar. Kalau tahun 2012, si abang bakal menghadapi PMR dan anak nombor dua pula UPSR. Kalau dapat menjadi jemaah yang pergi awal tahun ini, moga-moga dapatlah menyambut ulangtahun ke 40 di tanah suci. Rasa hati dikhabarkan pada Ali. Rupanya Ali pun berperasaan yang sama. Merindui Baitullah yang dikunjungi 2 tahun lepas.

Kesibukan pada awal tahun 2011 menyebabkan kami terlewat menghantar surat rayuan. Pegawai TH memaklumkan, lagi seminggu sahaja rayuan akan ditutup. Ya Allah, nasib baik sempat hantar. Kemudian dengan secara berhemah beliau menerangkan bahawa rayuan diberi keutamaan kepada warga emas dan yang uzur. Cuma menasihati kami jika ada rezeki, inshaallah dapat cuma jangan menaruh harapan yang terlalu besar. Kami mengangguk-angguk tanda faham. Dalam hati tetap berdoa..Ya Allah semoga kami menjadi tetamuMu tahun ini..terimalah kami!

Walaubagaimanapun, pada bulan Ramadhan, Ali menerima panggilan telefon memaklumkan bahawa rayuan kami telah ditolak. Hati walaupun hiba tetap redha. Tahu bahawa segala apa yang Allah tetapkan adalah yang terbaik untuk hambaNya. Walaupun begitu, selagi musim haji belum berakhir selagi itu saya tetap menaruh harapan. Saya terus berdoa setiap kali selepas sembahyang `Ya  Allah jika tahun ini baik buat kami untuk menunaikan fardhu haji, kau jemputlah kami sebagai tetamuMu Ya Allah! Doa itu saya lafazkan dengan sepenuh hati, penuh sayu dan penuh pengharapan! Malah dengan linangan air mata..

Sememangnya Allah itu maha pemurah lagi maha mengasihani hambaNya. Ketika itu harapan kami sudah semakin mengecil. Hari raya Aidilfitri sudah lama berlalu. Zulkaedah telah menjenguk diri. Kesibukan semasa menyebabkan hati semakin yakin bahawa mungkin bukan tahun ini. Hati redha dan pasrah. Bak kata petikan filem Ombak Rindu..redha itu ikhlas, pasrah itu menyerah. Memang kami ikhlas menerima takdir dan menyerah kepadaNYA. Tetapi, siapa sangka, tarikh keramat 5 Oktober sehari selepas menyambut ulangtahun kelahiran yang ke 40 membawa khabar gembira. Ali telefon.
                   " sayang, cuba teka?
                      Teka apa? aku ketika itu baru sahaja meletakkan kereta dan menunggu anak balik sekolah.
                      Berita gembira ni!
                      Abang nak bagi hadiah lagi ke? Usik ku. Semalam baru dpt suprise dari dia..
                      Ni lagi best!!
                      Ala, bagitau la.. aku semakin tak sabar.
                      Ok, dengar baik-baik. Alhamdulillah kita dapat pegi haji tahun ni.
                      Ha! Ya Allah bang, betul ke? Bila? Aku tiba-tiba panik.

                            Tarikh belum tahu lagi. Sayang pergi buat paspot antarabangsa dulu. Kemudian 
                     esok  abang balik kita serahkan paspot  ke Tabung Haji untuk urusan visa. 
                     Tabung Haji bagi tempoh 3 hari sahaja untuk semua urusan tersebut.

Sebaik meletakkan telefon, aku meraup kedua-dua belah tangan mengucap syukur yang teramat sangat. Tangan masih menggeletar dengan berita yang sangat-sangat diharapkan tetapi tidak dijangka terima ketika itu. Hati tidak keruan. Apa aku nak buat ni. Ya Allah, satu benda aku belum ada. Kursus haji pun sempat pergi sekali aje. Lepas dapat berita ditolak, kami pun terus tak pergi lagi. Debaran semakin kuat. Persiapan yang lain boleh kami uruskan. Tetapi persiapan rohani?? Ya Allah bantulah aku....

--bersambung...

Wednesday, September 21, 2011

Sekolah Agama? Tak Naklah!

Assalamualaikum semua,


Lama betul kita tak bersua di alam maya ni kan. Memang sangat rindu. Rindu nak menulis, rindu nak membaca komen, rindu nak blog walking dan macam2 rindu yang tak terbuat dan terluah. Bila lama dah tak menulis ni so skill pun semakin berkarat. Idea pun tak keluar-keluar. Maklumlah bila dah kerja sendiri ni baru terasa masa berlalu dengan sangat pantas. Dulu masa bekerja dengan orang, tertunggu-tunggu bila nak sampai hari Jumaat. Tapi bila kerja sendiri, sedar-sedar dah Jumaat. Terasa sangat cepatnya masa berlalu dan banyaknya kerja nak dibuat.

Tuesday, August 9, 2011

Masih Di sini..

Saya masih di sini
Cuma sedikit kesibukan
Akan kembali sedikit masa lagi
Selamat Mengimarahkan bulan Ramadhan
Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna....

Sunday, March 6, 2011

Terlalu Pedih...

Sesungguhnya panggilan tepat jam 6.30 pagi tu benar-benar menyentap jantung hatiku. Mata yang tadi sangat melekat dikelopak mata terasa buntang tiba-tiba. Sayu dan sendu kedengaran dihujung talian menyedarkan aku daripada mimpi. Ya Allah, lagi seorang insan yang aku sayangi kembali kepadaNYA. Adakah ini jawapannya kepada tidak keruan hatiku sejak minggu lepas?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails