Followers

Friday, March 2, 2012

Raudhah di hatiku (3) : Jiwa Seorang Ibu

Hanya beberapa hari sahaja lagi yang tinggal untuk urusan persiapan barang dan persiapan hati. Persiapan barang bagi aku yang baru pertama kali pergi ke tanah suci, pada permulaannya agak canggung, tak tahu apa yang nak dibeli, apa yang nak dibawa. Berapa banyak pakaian yang hendak di bawa. Walaupun Tabung Haji ada memberi senarai seperti di bawah, tapi mengikut pengalaman saudara-mara dan kawan-kawan yang telah pergi mereka membawa lebih daripada yang ditetapkan. Ketika dalam kesibukan menguruskan barang-barang keperluan kami, tiba-tiba di hati terselit perasaan sedih yang amat sangat. Bila teringat hal itu, air mata terus mengalir bagaikan tidak tertahan-tahan.

Kerisauan hatiku untuk meninggalkan anak kami seramai 4 orang itu begitu mencengkam jiwa. Kami tidak pernah berenggang. Paling lama pun mungkin 4 atau 5 hari. Itupun hanya dalam Malaysia sahaja. Tapi kali ini selama 43 hari yang jaraknya beribu-ribu kilometriko kilometer jauhnya.



Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan si kecil Mir Aqiel Azhad yang baru berusia 4 tahun setengah. Anak kami yang sulung 14 tahun, kedua 11 tahun dan ketiga 9 tahun. Aduhai hati..bagai nak tercabut rasanya mengenangkan kerisauan dan kesedihan perpisahan ini nanti. Setiap hari aku berdoa supaya ditabahkan hati, dikuatkan semangat untuk menghadapi perpisahan sementara ini. Setiap kali aku memandang wajah mereka, air mata terus mengalir dan aku segera memalingkan wajah agar anak-anakku tidak tahu kesedihan di hatiku ini.



Walaubagaimanapun aku bersyukur kerana anak kami akan dijaga oleh ibu mertuaku dengan dibantu oleh pembantu rumahku. Ibu mertuaku akan duduk di rumah memandangkan anak-anak kami bersekolah kecuali si Aqiel sahaja. Urusan sekolah seperti hantar dan ambil, dibantu pula jiran-jiran kami Jumari dan Suzaimah. Memandangkan ibuku bekerja, maka setiap hujung minggu barulah dia datang menemani anak-anakku. Insyaallah mereka tidak akan kesepian.

Tetapi yang meredakan kesukaran hati aku ialah apabila secara kebetulan aku ke 7 Eleven untuk membeli barang, tiba-tiba tangan aku mencapai majalah Anis yang mengupas tajuk menunaikan haji. Aku mengambil majalah tersebut dan terus membuka secara rambang. Entah muka surat berapa aku tak pasti, tetapi tajuk dia lebih kurang macam ni la..(terlupa tajuknya, cuba cari balik majalah tu, tak jumpalah pulak) Haji : Cabaran Meninggalkan Anak. Macam tahu-tahu pulak hatiku tengah resah gelisah. Terus aku  membeli dan membacanya. Antara yang paling kuingat dan menghilangkan keresahan hatiku ialah: Jangan risau tentang anak yang ditinggalkan. Serahkan segalanya kepada Allah. Keluarga yang ditinggalkan untuk menunaikan fardu haji akan dipelihara oleh Allah. 


Alhamdulillah, hatiku semakin tenang. Terima kasih kepada penulis yang menulis artikel itu. Memang aku semakin redha dan tenang selepas membacanya. Malah aku pulak yang menenangkan perasaan Ali apabila malam sebelum berangkat Ali tidak dapat tidur dan mengalirkan air mata apabila mengenangkan anak yang bakal ditinggalkan. Memang cabaran ini memerlukan kekuatan emosi untuk kita menanganinya. Lebih-lebih lagi pada malam itu juga Ali panggil anak-anak dan bagi pesanan terutama kepada anak yang sulung supaya sentiasa menjaga adik-adik dan tidak menyusahkan nenek dan bibik yang menjaga mereka. Kami juga berpesan jangan tinggal solat, dan doakan kami supaya selamat pergi dan kembali.

Dalam hati, kami berasa sangat sedih dan risau kalau-kalau itu merupakan malam terakhir kami menatap wajah mereka. Bagaimana nasib mereka nanti. Bagaimana mereka akan meneruskan kehidupan tanpa kami, dan pelbagai kebimbangan muncul dibenak fikiran. Tapi apabila kami serahkan segala-galanya kepada Allah, kami redha dan pasrah serta yakin bahawa Allah akan memelihara anak-anak kami serta kami berdua di Tanah Suci Mekah.

Kepada yang bakal meninggalkan anak terutama yang masih kecil malah ada yang masih menyusu badan, janganlah cabaran itu meregut impian kita untuk menunaikan ibadah haji pada usia yang muda. Jangan difikir-fikir jika jemputan Allah ke rumahNYa telah tiba. Kita tidak tahu entah tahun hadapan kita masih ada lagi atau tidak. Jika masih ada kita juga tidak pasti sama ada kita masih sihat lagi ataupun tidak. Kuatkan semangat dan serahkan segalanya kepada Allah swt. Inshaallah!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails