Akhirnya tarikh itu tiba juga. 22 Oktober 2011. Pagi itu selepas mandi sunat ihram, kami solat subuh dan menunaikan solat sunat musafir. Aku terus berpakaian ihram tanpa niat ihram terlebih dahulu. Ali tidak berihram lagi dan telahpun dinasihatkan agar menukar ihram semasa di Kelana Jaya. Persiapan kami pagi itu tanpa sebarang suara. Cuma di dapur kedengaran suara-suara saudara mara yang membantu menguruskan sarapan pagi dan bekalan makanan untuk di bawa ke Kelana Jaya. Kami hanya menjamah sedikit sahaja sarapan yang disediakan. Entah kenapa selera tidak terbuka sedangkan mak menyediakan sarapan kegemaran kami, sambal udang dan ketupat serta roti berlauk. Mungkin rasa yang bercampur baur dalam hati kami ini menyebabkan kami tidak dapat menikmati. Ya Allah! peliharalah anak-anak kami, ibu bapa kami, saudara mara kami dan jiran-jiran kami sepanjang ketiadaan kami. Doa kami tidak putus-putus.
Kemudian, keheningan pagi itu dirahmati dengan suara merdu dan sayu bunyi azan yang dilontarkan oleh jiran kami Jumari Kosrin. Suara azan itu begitu memilukan hati kami apabila mengiringi keberangkatan kami ke Kelana Jaya.
Jiran-jiran yang hadir menghulurkan tangan bersalaman dan berpelukan. Kami saling bertangisan. Adakah ini merupakan pertemuan dan pelukan yang terakhir? Ya Allah hanya kamu yang maha mengetahui. Hanya doa yang mengiringi semoga kami selamat pergi dan selamat kembali dan mendapat haji yang mabrur. " Ila, jangan dirisaukan anak-anak di sini, beribadahlah dengan hati yang tenang. Inshaallah kami akan menjaga mereka." pesan jiran terdekat kami. Terima kasih Allah, kau kurniakan kami jiran yang baik yang telahpun kami anggap sebagai saudara kami juga.
Perjalanan ke Kelana Jaya memakan masa hampir lebih 2 jam. Selepas menurunkan beg, Ali terus menguruskan dokumen dan barang-barang yang perlu diambil daripada Tabung Haji seperti gelang tangan besi, rantai leher pengenalan diri dan beberapa cenderahati yang diberikan oleh Tabung Haji. Sementara menunggu pengumuman seterusnya kami mengambil kesempatan bergambar bersama ahli keluarga. Alhamdulillah semua ahli keluarga di kedua-dua belah pihak dapat hadir menemani kami di Kelana Jaya. Aku anak sulung daripada 8 orang adik-beradik dan suamiku juga anak sulung daripada 2 beradik. Termasuk dengan anak masing-masing, memang suasana sangat meriah sebelum pengumuman yang seterusnya berkumandang.
Bakal haji dikehendaki masuk ke ruangan yang dikhaskan untuk urusan selanjutnya. Ketika ini perasaan aku sudah mula sayu kembali. Kami pun bersalaman dan berdakapan mengucapkan selamat di antara satu sama lain. Air mata mula mencurah kembali. Ia semakin mencurah apabila aku memeluk anak-anakku yang bakal ditinggalkan. Ya Allah! tabahkanlah hati ini. Hatiku semakin pilu apabila mereka menangis dan tidak mahu meleraikan pelukan masing-masing. Aku terpaksa meleraikan mereka dan terus menuju ke balai khas. Dari jauh aku masih mendengar tangisan anak-anakku yang menjerit mama!!, babah!!. Ya Allah, peliharalah anak-anak kami, kau panjangkanlah umur kami agar kami dapat berjumpa lagi selepas ini..Amin!!
Di Panggil Haji dan Hajah
Langkah yang diatur terasa berat. Mata sesekali memandang ke belakang melihat saudara mara yang masih melambai sayu dan ada yang sedang memujuk anak-anak kami. Pada masa yang sama debaran untuk menunaikan rukun ke lima ini bertandang ke dalam jiwa. Kami semua jemaah beratur menunggu giliran untuk menimbang bagasi yang di bawa. Kami adalah jemaah KT66. Jemaah yang berangkat bersama-sama kami dianggarkan 400 orang. Kebanyakannya yang berumur 50 tahun ke atas. Ada yang bertongkat, ada yang berkerusi roda. Ada yang dipapah oleh suami atau anak yang mengiringi. Malah ramai juga yang muda dan sihat yang bersama rombongan kami ini. Alhamdulillah, terdetik dalam hati bersyukur yang amat sangat kerana Allah menjemput kami dalam usia yang muda dan sihat.
Selamat datang Haji, selamat datang hajah. Sila tinggalkan beg di sini dan masuk ke dalam untuk mengambil paspot ye! Beritahu petugas Tabung Haji dengan ramah dan sopan. Kami tersenyum mengangguk. Beg itu diuruskan untuk di scan seperti yang biasa dilakukan di terminal lapangan terbang. Kemudian beg itu kami bawa untuk ditimbang. Panggilan haji dan hajah sentiasa kedengaran apabila mereka menunjuk arah kepada kami dan jemaah lain untuk ke tempat yang seterusnya. Debaran semakin terasa. Kami seterusnya diberi taklimat terakhir sebelum berangkat ke lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Sebanyak 10 buah bas digunakan. Bagi menjamin kelancaran perjalanan kami telah diiringi oleh anggota polis bermotor.
"terasa macam VIP la pulak bang!" kataku kepada Ali.
"Yelah..kitakan Tetamu Allah...mestilah mendapat layanan yang istimewa.." Balas Ali.
Aku tersenyum dan mengangguk-angguk kepala. Dalam hati terus berdoa semoga perjalanan kami yang seterusnya dipermudahkan oleh Allah.
"Labbaikallahumalabaik..."