Followers

Monday, November 8, 2010

Hidup dan mati hanya satu garisan kecil sahaja jaraknya.

Hari ini hari Ahad 7/Nov/2010. Hari minggu sememangnya hari bersantai bagi kami sekeluarga. Tapi minggu ini kami isikan dengan aktiviti bermain badminton di dewan sekolah cina yang aku tak berapa ingat namanya. Kami pergi bersama Su dan Mansor sekeluarga. Su dan Mansor adalah jiran kami. Anak-anak mereka lebih kurang sebaya dengan anak-anak aku.

Selepas dua jam bermandi peluh dan bertukar-tukar pasangan, kami pun balik. Penat aku berehat sebentar. Maklumlah bertahun-tahun rasanya tak main badminton ni. Penat giler!! Nasib baik hari ni relaks sedikit sebab Ali kata dia nak masak spagethi hari ni sebagai hidangan tengahari kami. Dalam relaks-relaks tu aku tertidur. Tak tahulah berapa lama, rasanya baru sekejap aje sebab ali pun belum start ke dapur lagi. Dia kejutkan aku dan tunjukkan sms daripada rakan aku, hanita hassan.



" Sahabat kita yang dikasihi, Patimah Ramli telah kembali ke rahmatullah dalam satu kemalangan di Muazam Shah...Alfatihah! 

Tersentak aku dibuatnya. Dalam keadaan mamai-mamai tu, aku sempat mengucap panjang dan sedekahkan Alfatihah. Aku termenung panjang seusai bacaan Alfatihah.

Patimah Ramli (46 tahun) bukanlah rakan sekerjaku. Aku mengenalinya melalui suamiku ketika beliau menjadi wartawan Berita Harian. Kemudian beliau mendapat kerja di jabatan kerajaan di Melaka. Kami semakin rapat apabila sama-sama dilantik menjadi ahli jawatankuasa Biro Wanita, Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), iaitu satu badan NGO yang agak aktif di Melaka. Memang kami akan berjumpa setiap kami mesyuarat atau dalam majlis yang dianjurkan oleh biro ini.

Selepas aku berhenti kerja tahun lepas dan melepaskan jawatan di Biro Wanita DMDI, kami tidak lagi bertemu. Sesekali berjumpa di pasaraya-pasaraya ataupun di majlis-majlis anjuran kerajaan negeri. Beliau masih ramah seperti biasa. Kali terakhir aku berbual adalah pada bulan lepas bila dia menelefon aku untuk bertanyakan program English Playshop for Ladies yang aku anjurkan. Walaupun tidak dapat hadir sebab bertimpa dengan jadual lain, dia tetap mendoakan agar program yang aku anjurkan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Kemalangan yang menimpa sehingga meragut nyawanya berlaku ketika dalam perjalanan pulang dari Terengganu ke Melaka. Kereta yang dinaiki bertembung dengan treler sehingga terbakar dan kesemuanya hangus terkorban. Nauzubillah. Baru sahaja dia menelefon suaminya ketika berhenti rehat di Gambang dan dalam sekelip mata dia tiada di dunia ini.

Ya Allah..Sememangnya kehidupan kita di dunia ini hanya pinjaman semata-mata. Kehilangan sahabat dan insan disekeliling kita sebenarnya petanda Allah ingin mengingatkan kita bahawa jarak di antara hidup dan mati ini hanya dipisahkan dengan satu garisan kecil sahaja..! Bila-bila masa, giliran kita pula menyusul.

Takziah buat keluarga kak Patimah Ramli. Moga beliau ditempatkan di kalangan insan-insan yang beriman. AlFatihah!

Berita lanjut : Mstar

sumber : facebook

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails