Followers

Tuesday, April 6, 2010

Kasihmu seteguh Taj Mahal - Nilai Kasih Seorang Suami



Namanya Abu Said. Nama penuh aku tak pasti. Tapi mesra ku panggil Pak Cik. Beliau adalah bapa mertua kepada sahabat baik dan juga jiranku Su. Suami Su, Almansor juga sahabatku. Kami pernah bekerja di tempat yang sama. Aku kenali Pakcik sudah lama, sama usia dengan persahabatanku dengan Su. Kira-kira hampir 12 tahun lamanya. Aku kagum dengan Pakcik. Orangnya peramah, baik, pemurah. Kata-kata yang keluar banyak yang memberi semangat untuk berjaya dalam hidup. Isteri Pakcik yang kupanggil makcik merupakan insan setia yang sentiasa berada di samping Pakcik bermula dari saat mereka diijabkabulkan. Susah senang mereka hadapi bersama. Dimana ada Pakcik, disitulah ada makcik. Resam orang dulu-dulu yang sukar menzahirkan kasih-sayang, tapi dari perbualan dengan mereka, nama masing-masing tidak putus dari mulut keduanya.

Credit to Su@bualsantai

Walaubagaimanapun langit tidak selalunya cerah. Ketika masih bergembira dengan suasana hariraya, suatu pagi dihariraya ke 5, selepas sembahyang subuh berjemaah dengan pakcik, makcik terasa seperti hendak muntah dan pergi ke bilik air. Selepas beberapa ketika pakcik menunggu makcik dan hairan kenapa makcik masih tidak keluar sedangkan kebiasaannya tidak begitu. Naluri hati seorang suami yang telah hidup bersama lebih 40 tahun merasai `sesuatu'. Benar telahannya. Makcik tertunduk ditepi kolah tidak sedarkan diri.

Tarikh itu bermulalah episod `kesedihan' bagi Pakcik dan keluarga. Makcik yang memang mengidap penyakit darah tinggi tidak sedarkan diri disebabkan salah-satu saraf di otak pecah. Sejak itu ICU HKL dan Melaka adalah rumah kedua makcik dan Pakcik disitu menemani penuh setia tanpa sedikitpun rungutan. Peraturan di ICU pelawat tidak boleh masuk selalu. Pakcik akan setia menunggu diluar. Matanya sentiasa mengerling masa bagi membolehkannya masuk semula. Keadaan makcik tidak seperti selalu, muka bengkak gara-gara operation, muka senget, kepala dibotakkan separuh, tapi Pakcik masih disitu, mengusap-usap kepala makcik dan tangan makcik dengan penuh kasih-sayang. Sedikitpun tidak luntur kasih sayang pakcik melihat keadaan makcik sebegitu.

Hampir 7 bulan makcik berada dalam keadaan separuh koma. Bila berbual dengan Pakcik, aku tahu Pakcik amat rindukan makcik. Dia ceritakan tentang masa-masa istimewa bersama makcik adalah selepas sembahyang tengah malam bersama-sama. Itu rutin hidup mereka sepanjang perkahwinan. `Kalau pakcik tak bangun, makcik kejutkan, kalau makcik tak bangun pakcik kejutkan. Yang penting kami dapat bangun sama-sama dan bermunajat kepada Allah.' Kemudian kami bercerita tentang anak-anak. Kalau ada mana anak-anak dalam kesusahan kami akan bacakan Yasin sehingga menjelang waktu subuh.'

Credit to Su@bualsantai


Ya! dari getaran suara dan genangan air mata, aku tahu pakcik sangat merindui saat-saat itu!!

Sepanjang makcik dalam separuh koma, sedikitpun pakcik tidak menyibukkan diri dengan perkara lain. Mujur semua anak-anak telah dewasa. Tinggallah kebunnya, tinggallah sawahnya. Tinggallah ayam dan itiknya. Hidupnya ketika itu hanya menemani isterinya yang tercinta. Kalau di hospital, selain dari membersihkan isterinya sambil dibantu oleh menantunya Su, pakcik akan bisikkan ayat-ayat suci, berdoa dan bercakap dengan isterinya. Kalau ada yang menziarah, dialah yang akan memberitahu makcik sesiapa yang datang. Kalau makcik tersedak tatkala minum susu melalui tiub, pakcik cepat-cepat mengusap-usap dada makcik. Jika ada sebarang perkembangan positif makcik seperti boleh membuka mata, batuk sehingga mengeluarkan suara, pakciklah insan paling gembira. Pengharapan pakcik melihat makcik sembuh memang tinggi. Benar, kasih sayang pakcik tiada sempadan. Ujian itu sebenarnya menebalkan kasih sayang pakcik terhadap makcik.


Namun ketentuan Allah tiada siapa dapat meramal dan menghalang. Makcik pergi jua. Atas redha seorang suami. Selepas mendapat berita dari doktor yang keadaan makcik kritikal ketika itu di HKL, pakcik terus melangkah ke masjid berhampiran. Memohon petunjuk. Seusai solat sunat, doa yang panjang dan penuh ketenangan pakcik merelakan makcik pergi jika itu ketentuanNya. Sebaik sahaja pakcik mendekati makcik, dalam keadaan semua anak-anak disisi, makcik menghela nafas terakhir dengan tenang pada hari Isnin, 29 Mac 2010.

Begitulah kasih sayang Pakcik yang menurut aku begitu luhur dan suci. Cinta yang tidak dizahirkan tetapi tersimpul erat di dalam hati. Tiada tempuh khusus yang doktor janjikan untuk makcik sembuh, tetapi harapan pakcik tinggi menggunung. Setiap hari pakcik bagaikan tidak sabar untuk melihat makcik di hospital, nak melihat makcik, pegang tangan makcik, mengurut-mengurut lengan dan kaki makcik, bisikan ayat-ayat suci dan bercakap-cakap dengan makcik. Kesetiaan dan kasih sayang Pakcik mengagumkan aku. Jarang benar aku menyaksikan peristiwa ini. Walaupun makcik dah tiada, aku tahu pakcik bersyukur kerana telah memberi perhatian sepenuhnya sepanjang hayat arwah.

Al Fatihah untuk makcik. Semoga makcik ditempatkan dikalangan insan-insan yang beriman dan ditempatkan di syurga. Amin! dan juga semoga Pakcik tabah meneruskan kehidupan tanpa makcik. Insyaallah!

16 comments:

zella y said...

al-fatehah....

SYANI said...

Semoga suamiku juga memiliki sifat dan kesabaran macam Pakcik tu jika aku pergi dulu...

papabear said...

sedihnya... al-fatihah...

Lynn Nasir said...

salam ila,

touching!! semoga arwah ditempatkan di kalangan mereka yg beriman di sisi Allah swt. pakcik..kesiannya pakcik..

ila-ali said...

zella : Al fatihah juga makcik

Aisyah : moga kita mendapat suami yang dapat menjaga dan menyayangi kita semasa sihat dan sakit

papabear : sebenarnya sedih sangat tengok Pakcik. Kehilangan makcik mcm sebahagian dirinya juga tiada.

Lynn : Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kita doakan makcik bahagia di sana dan pakcik tabah mengharungi hidup tanpa makcik

qamarguyz said...

salam ziarah..
al-Fatihah..
m0ga allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan hamba2-Nya yg s0leh..& m0ga pakcik terus tabah mGhadapi hari2 mendatanG..

syukran atas perk0ngsian..
dalam kesah tersirat seribu hikmah..
belajarlah dari alam & kehidupan, kerna di situlah adanya pengajaran langsung dari Tuhan..

CITY® said...

salam ila ali,
lama x singgah sini ya

alfatihah..
sedih n terharu baca kisah ni
memang susah nak ada lelaki mcm pakciks ni..
semoga pakcik sentiasa dimudahkan rezeki dan bahagia juga sihat,
amin

adhaxx said...

tersentuh hati...

ila-ali said...

Azrai : Terima kasih di atas doa. Tertarik dgn kata2 `belajar dari alam dan kehidupan dan disitu terdapat pengajaran langsung dari Tuhan;. Tq

blueCITY : Lama tak singgah takpe, jgn trus tak singgah. Nanti merajuk baru tau...hehehe!
Ketika ini Pakcik masih lagi kesedihan..apatah lagi bila tinggal sorang dan anak-anak semua dah balik utk meneruskan kehidupan. Semoga pakcik kuat dan tabah!

adhaxx : tkasih kerana sudi baca..semoga dapat pengajaran disebalik cerita ini.

♥ shiMawar ♥ said...

syahdunye entri ni..
begitu indahnye cinta n ksh syg bila ianye lahir berlandaskan agamaNya..

alFatihah utk makcik.. :(

maslinamansor said...

salam,
jarang kita nak jumpa orang yang setia sampai keakhir hayatnya...

ila-ali said...

shiMawar :Bila cinta lahir penuh keikhlasan, insyaallah berkekalan.

maslinamansor : harap2 suami kita termasuk dlm golongan yg setia mcm tu la kan!

suzaimah said...

walaupun aku antara orang yang terdekat dengan makcik (mak mertua) tetapi air mata masih mengalir lagi tatkala membaca bingkisan ini...tertalu rindu dengannya...

ila-ali said...

Su: Su bagi sy menantu mithali. Untung mansor dpt su. Su dah lakukan yg terbaik untuk makcik. Insyaallah makcik `bahagia' di sana. Bila rindu, sdekahkan Alfatihah...

Airis Arissa said...

sedihnya baca kisah arwah mak ni. kak, saya link page akak ni kat blog saya ye.

ila-ali said...

Cahaya : Akk pun masih lagi bersedih bila teringatkan arwah. dan risau dgn keadaan pakcik. Sentiasa tny kak su mcmana keadaan pakcik. Moga pakcik tabah!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails