Followers

Tuesday, December 20, 2011

Rawdhah di Hatiku (2): Persiapan Rohani


Meneliti bait-bait talbiah semasa menghayati buku Panduan Haji yang diberi percuma oleh Lembaga Tabung Haji Melaka, terasa begitu sayu dihujung tangkai jiwa. Adakalanya ia bertukar bahagia, juga hiba pada saat yang sama. Denyutan perasan yang bercampur baur ini melebihi daripada kadar biasa apabila memikirkan masa yang semakin hampir.

Tetapi kami percaya bahawa Allah itu Maha Besar, Kun Fa Ya Kun. Jika Dia kata "Jadi, maka jadilah.."
Dalam keadaan kami berusaha merawat kekecewaan (selepas mendapat berita permohonan ditolak), Dia bagi kami kegembiraan dan proses selepas itu menjadi lebih mudah. Penyediaan paspot dan visa, pemeriksaan kesihatan, pemberitahuan tarikh penerbangan segalanya terasa seperti telah diuruskan dan kami hanya melaluinya sahaja. Alhamdulillah, syukur di atas rahmatMU ya Allah!

Cuma kerisauanku adalah bagaimana dengan persiapan rohani? Memandangkan aku hanya sempat sekali sahaja mengikuti kursus haji, cara yang paling mudah ialah dengan mencari buku-buku tentang haji dan membaca buku-buku travelog haji. Aku juga membaca blog-blog kembara haji dan permasalah-permasalahan haji selain dari menghayati buku-buku yang dibekalkan oleh Tabung Haji.


Dikesempatan yang terbatas itu kami cuba mengumpul seberapa banyak maklumat yang boleh. Memang benar Ali pernah ke tanah suci. Tetapi atas tuntutan kerja, dia hanya dapat melakukan perkara yang wajib sahaja. Lebih-lebih lagi Ali bekerja di KL jadi perbincangan hanya terbatas ketika dia tidak bekerja dihujung minggu sahaja. Maka, rakan-rakan, jiran tetangga dan handai-taulan yang pernah menjejakkan kaki ke tanah suci menjadi tempat rujukan kedua. Pelbagai maklumat, nasihat yang baik kami kumpulkan sebagai pedoman. Sedikit demi sedikit gambaran menunaikan fardu haji terbayang di hadapan mata.

Pesanan rakan, "ila sebelum ke sana nanti, perbanyakkan solat sunat taubat. Lebih baik bangun sepertiga malam lakukan solat sunat tahajjud dan mohon kepadaNya semoga segalanya dipermudahkan". Ya Allah, aku hanya ada beberapa hari sahaja lagi untuk berangkat, sempatkah lagi untukku bertaubat. Bukankah taubat itu perlu dilakukan sepanjang masa dan bukan hanya untuk menunaikan fardu haji sahaja. Ya Allah, jahilnya aku. Culasnya aku  Ya Allah. Kau berikan petunjuk Ya Allah. Ampunilah aku Ya Allah. Kau permudahkan segalanya.

Lantas disepertiga malam untuk yang hanya tinggal beberapa hari sahaja sebelum berangkat itu aku mengadap yang Maha Esa memohon keampunannya. Malam yang aku serahkan jiwa dan ragaku mengadapMu, memohon keampunanMu ya Allah. Malam yang mana air mata terasa murah harganya. Rasa malu, ketakutan, debaran, kenaifan dan ketawadukkan menjadikan sepertiga malam itu merupakan satu momen suci yang sangat indah di antara hamba dan penciptanya. Momen yang tidak pernah dirasakan sebelum ini. Ya Allah, aku insan jahil Ya Allah. Ampunilah aku.

1 comment:

zella y said...

saya doakan kan semoga segala urusan akak dipermudahkan...amin...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails