Followers

Tuesday, March 6, 2012

Rawdhah di hatiku (4) : Permulaan Sebuah Perjalanan

Akhirnya tarikh itu tiba juga. 22 Oktober 2011. Pagi itu selepas mandi sunat ihram, kami solat subuh dan menunaikan solat sunat musafir. Aku terus berpakaian ihram tanpa niat ihram terlebih dahulu. Ali tidak berihram lagi dan telahpun dinasihatkan agar menukar ihram semasa di Kelana Jaya. Persiapan kami pagi itu tanpa sebarang suara. Cuma di dapur kedengaran suara-suara saudara mara yang membantu menguruskan sarapan pagi dan bekalan makanan untuk di bawa ke Kelana Jaya. Kami hanya menjamah sedikit sahaja sarapan yang disediakan. Entah kenapa selera tidak terbuka sedangkan mak menyediakan sarapan kegemaran kami, sambal udang dan ketupat  serta roti berlauk. Mungkin rasa yang bercampur baur dalam hati kami ini menyebabkan kami tidak dapat menikmati. Ya Allah! peliharalah anak-anak kami, ibu bapa kami, saudara mara kami dan jiran-jiran kami sepanjang ketiadaan kami. Doa kami tidak putus-putus.

Kemudian, keheningan pagi itu dirahmati dengan suara merdu dan sayu bunyi azan yang dilontarkan oleh jiran kami Jumari Kosrin.  Suara azan itu begitu memilukan hati kami apabila mengiringi keberangkatan kami ke Kelana Jaya.

Jiran-jiran yang hadir menghulurkan tangan bersalaman dan berpelukan. Kami saling bertangisan. Adakah ini merupakan pertemuan dan pelukan yang terakhir? Ya Allah hanya kamu yang maha mengetahui. Hanya doa yang mengiringi semoga kami selamat pergi dan selamat kembali dan mendapat haji yang mabrur. " Ila, jangan dirisaukan anak-anak di sini, beribadahlah dengan hati yang tenang. Inshaallah kami akan menjaga mereka." pesan jiran terdekat kami. Terima kasih Allah, kau kurniakan kami jiran yang baik yang telahpun kami anggap sebagai saudara kami juga.



Friday, March 2, 2012

Raudhah di hatiku (3) : Jiwa Seorang Ibu

Hanya beberapa hari sahaja lagi yang tinggal untuk urusan persiapan barang dan persiapan hati. Persiapan barang bagi aku yang baru pertama kali pergi ke tanah suci, pada permulaannya agak canggung, tak tahu apa yang nak dibeli, apa yang nak dibawa. Berapa banyak pakaian yang hendak di bawa. Walaupun Tabung Haji ada memberi senarai seperti di bawah, tapi mengikut pengalaman saudara-mara dan kawan-kawan yang telah pergi mereka membawa lebih daripada yang ditetapkan. Ketika dalam kesibukan menguruskan barang-barang keperluan kami, tiba-tiba di hati terselit perasaan sedih yang amat sangat. Bila teringat hal itu, air mata terus mengalir bagaikan tidak tertahan-tahan.

Kerisauan hatiku untuk meninggalkan anak kami seramai 4 orang itu begitu mencengkam jiwa. Kami tidak pernah berenggang. Paling lama pun mungkin 4 atau 5 hari. Itupun hanya dalam Malaysia sahaja. Tapi kali ini selama 43 hari yang jaraknya beribu-ribu kilometriko kilometer jauhnya.



Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan si kecil Mir Aqiel Azhad yang baru berusia 4 tahun setengah. Anak kami yang sulung 14 tahun, kedua 11 tahun dan ketiga 9 tahun. Aduhai hati..bagai nak tercabut rasanya mengenangkan kerisauan dan kesedihan perpisahan ini nanti. Setiap hari aku berdoa supaya ditabahkan hati, dikuatkan semangat untuk menghadapi perpisahan sementara ini. Setiap kali aku memandang wajah mereka, air mata terus mengalir dan aku segera memalingkan wajah agar anak-anakku tidak tahu kesedihan di hatiku ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails